Sunday 8 April 2012

Pemilihan Media Pengajaran

Aspek reka bentuk pengajaran amatlah penting terutamanya ketika guru ingin memilih serta menggunakan media dalam pengajaran mereka. Model ASSURE (Smaldino, E. Heinich, R & Molenda, M. (2005) memberi panduan kepada guru bagaimana media dipilih serta dapat digunakan secara lebih berkesan dan bersesuaian dengan tahap dan profil pelajar.

ASSURE ialah akronim bagi perkataan Analyze learner (analisis ciri-ciri pelajar), State objective (menyatakan objektif), Select Methods, Media & Materials (Memilih kaedah, media & bahan), Utilize Media & Materials (Menggunakan media & bahan) Require learner participation (Memerlukan penyertaan pelajar) dan Evaluate & revise (Menilai & mengulang kaji). Langkah-langkah yang terdapat pada model ini memperlihatkan bahawa media bukan hanya dipilih sebagai alat bantu mengajar tetapi sebagai bahan yang terancangan yang mengintegrasikan aspek perancangan, pemilihan, pengubahsuaian dan penggunaan.

Analisis ciri-ciri pelajar - Menganalisis ciri-ciri pelajar seperti tahap, umur, latar belakang    sosial, keadaan bilik darjah & lain-lain yang berkaitan untuk disesuaikan dengan pemilihan media pengajaran.

Menyatakan objektif – Menyatakan objektif penggunaan media dengan cara merangka aktiviti pengajaran (guru & murid) sebagai sebahagian daripada rancangan mengajar.

Memilih Kaedah, Media & bahan – Memilih media yang sesuai dengan menyatakan kaedah yang akan digunakan dalam sesi pengajaran.

Menggunakan media & bahan– Media digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian tahap dan profil pelajar.

Memerlukan Penyertaan Pelajar – Murid atau rakan sekelas dijemput bersama untuk menonton hasilan tersebut sebelum digunakan dalam pengajaran sebenar.

Menilai & Mengulang kaji - Segala respons pelajar dengan rakan sekelas dalam sesi ini dicatat untuk membuat penambahbaikan.

Saturday 7 April 2012

Pengkelasan Media Pengajaran

Media pengajaran terbahagi kepada dua:

  • Media Cetak
  • Media bukan cetak

Pengkelasan Media

  1. Media tayang kaku                 transparensi, slaid, dan mikrofilem
  2. Media tayang bergerak          pita video, cakera padat digital, dan filem
  3. Bahan grafik                            lukisan, poster, kartun, carta, dan graf
  4. Gambar kaku gambar            foto, kad imbasan, dan poskad
  5. Bahan pameran 3-dimensi     model, boneka, diorama, dan pupet
  6. Papan paparan @ pameran   papan kapur,papan putih papan flanel,papan buletin
  7. Media audio                              pita kaset, cakera padat, dan komputer
  8. Media cetak                              modul, buku teks, surat khabar, majalah,risalah           

     
     

Konsep Media Pengajaran

Bidang teknologi pengajaran tercetus daripada pergerakan audio visual yang kemudiannya dikenali sebagai media pengajaran. Oleh itu, bolehlah dikatakan media pengajaran menjadi pengasas kepada penubuhan bidang teknologi pendidikan.

Media atau medium bermakna saluran komunikasi. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perantara. Ia merujuk kepada apa sahaja yang membawa maklumat daripada penyampai kepada penerima. Contoh media termasuklah filem, tv, radio, rakaman audio, gambar foto, bahan bercetak, komputer dan pengajar. Media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat meransang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadi proses pembelajaran.

Konsep media menurut Torkelson (1972)

  1. Saluran mesej - peralatan fizikal sama ada berbentuk elektrikal atau mekanikal yang membolehkan mesej dipersembahkan kepada pelajar seperti tv, projektor, filem, projektor LCD dan sebagainya.
  2. Bentuk mesej - bagaimana mesej disimpan terangkum dalam satu ruang yang luas, bermula dari  bentuk bahan sebenar hingga ke bentuk yang abstrak. Mesej boleh disimpan dalam bentuk perkataan, lisan, gambar, objek, simbol dan lain-lain.
  3. Mesej - Isi kandungan, apa saja yang terkandung dalam media sama ada mesej berbentuk memberitahu, menaikkan semangat dan lain-lain yang dianggap sebagai mesej yang ingin disampaikan.

Fungsi dan kelebihan Media Pengajaran

Memperjelaskan penyampaian mesej adalah lebih berkesan jika perkataan disertakan dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya. Dengan media, segala simbol, verbal yang abstrak dapat dijelaskan. Dalam era teknologi komputer pula, penjelasan lebih berkesan dan menarik seperti penggunaan animasi, bunyi dan muzik dapat dilakukan.

Mengatasi batasan ruang, waktu, dan pancaindera, contohnya:

  • objek yang terlalu besar atau kecil boleh diganti dengan model, gambar, transparensi, filem atau video
  • gerak yang terlalu lambat atau cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography
  • kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem, gambar foto mahupun lisan
  • objek yang terlalu kompleks (misalnya mesin) dapat ditunjukkan dalam bentuk model, gambar rajah dan lain-lain
  • konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan

Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi akan dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia boleh menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar boleh belajar kendiri mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

Pengalaman dan persepsi yang sama. Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran ditentukan bagi setiap pelajar, sifat unik yang ada pada setiap pelajar, ditambah dengan persekitaran yang berbeza membuat guru mengalami kesulitan. Keadaan ini dapat diatasi dengan media pengajaran kerana kemampuannya dalam memberikan rangsangan dan pengalaman dan persepsi yang sama. Misalnya perisian sebuah kursus boleh digunakan berulang kali oleh pelajar tanpa merosakkan kandungan asal. Belajar secara berulang kali membantu pelajar membentuk persepsi yang sama dan tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip.

Definisi Media Pengajaran

Media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadi proses pembelajaran. Dari sudut penggunaan media pengajaran, Ngui Kuan Sang (1989), berpandangan bahawa ia adalah satu pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pendengaran seseorang serta teknik-teknik pengajaran, termasuk proses pengalaman, persediaan dan perasaan. Hal ini bermakna ia adalah satu proses pengalaman yang total.

Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

  1. untuk membantu memperbaiki keseluruhan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran
  2. melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan
  3. menjimatkan masa, tenaga, dan wang
  4. mengelakkan rasa bosan pelajar dan mengekalkan minat pelajar dan boleh menghiburkan pelajar
  5. melibatkan pelbagai deria pelajar iaitu penglibatan deria ini akan meningkatkan daya ingatan pelajar
  6. memberi kelainan dan kepelbagaian kepada kaedah mengajar
  7. memperkayakan pengalaman pelajar

Apakah ciri-ciri Teknologi Pendidikan yang sesuai?

  1. Bahan yang dapat menjelaskan idea, konsep dan menerangkan isi kandungan pelajaran
  2. Bahan yang bersaiz sesuai dan jelas untuk dilihat oleh semua murid
  3. Tulisan dan gambar yang berwarna-warni bagi menarik minat murid
  4. Bahan yang digunakan tahan lama dan mudah disimpan

Apa itu Teknologi Pendidikan?

Teknologi Pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran. Selain itu, ia juga merupakan satu bidang yang berkaitan dengan usaha memudahkan pembelajaran dan menarik minat murid dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bidang ini meliputi aktiviti berikut:
  1. mengenal pasti semua sumber pendidikan dan sumber manusia untuk pengajaran dan pembelajaran.
  2. membangun, menghasil, mengelola dan menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran.
  3. mengurus proses, mengenal pasti, membangun, mengelola dan menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran